|
Anuar Zain pernah terfikir untuk bersara dari dunia seni gara-gara tidak tahan dengan tekanan
TERLALU banyak cerita kurang enak yang didengar mengenai Anuar Zain iaitu calon Penyanyi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007). Dari kisah kehidupan peribadinya hinggalah kepada sikap ‘diva’ yang dimilikinya. Malah, sejak kembali dengan album solo ketiganya, namanya begitu sinonim dengan kontroversi.
Selepas keputusannya menggunakan khidmat komposer dari seberang menjadi bahan pertikaian kini Anuar dikatakan sudah mula tunjuk belang. Khabarnya, penyanyi bervokal mantap ini meminta bayaran untuk sesi fotografi.
Pendek kata macam-macam cerita negatif mengenai Anuar disebarkan kepada media oleh pihak-pihak tertentu. Justeru, ketika bertemu penyanyi ini di Kota Bharu, Sabtu lalu, soalan yang sama diajukan kepadanya. Sambil menyifatkan dakwaan itu |
sebagai satu fitnah, Anuar turut meluahkan isi hati dan dilema yang dihadapinya sebagai seorang anak seni.
Hip: Ada dakwaan mengatakan Anuar semakin berlagak diva sehingga ada orang kata sampai minta bayaran dan disediakan limosin sebagai pengangkutan ke tempat fotografi diadakan. Betulkah?
Anuar: (sambil mengucap panjang). Saya ada dengar perkara itu daripada rakan media lain. Demi tuhan, saya masih sedar diri dan tahu di mana bumi pijak. Kadang-kadang perkara seperti inilah yang membuat saya kecewa. Saya ingat, selepas kembali menjadi anak seni, perkara seperti ini tidak wujud lagi tapi nampaknya sangkaan saya meleset. Selepas 25 tahun menjadi anak seni, perkara yang sama juga terpaksa saya tempuhi.
Hip: Bunyi macam Anuar kecewa dengan apa yang berlaku?
Anuar: Memang kecewa. Sejak muncul dengan album ketiga ini, macam-macam cerita tidak sedap sampai di telinga saya. Saya akui setiap kali cerita yang kurang enak ini saya jadi tertekan. Berhari-hari saya fikir mengenai perkara itu. Saya muncul dalam dunia hiburan kerana minat yang mendalam terhadap nyanyian dan saya tak nafikan, pendapatannya yang lumayan juga menjadi pendorong. Tapi, dugaan dan onak ranjau inilah membuatkan saya makan hati. Boleh sakit jiwa jadinya.
Hip: Ini bermakna sukar untuk menjadi seorang Anuar Zain?
Anuar: Bukan menjadi Anuar Zain tetapi menjadi artis di Malaysia. Hendak jadi artis di Malaysia memang susah. Ada saja yang tidak kena. Contohnya, kalau kita layan peminat berlebih-lebih, dikatakan kita ‘over’. Kalau tak layan, tuduh kita sombong. Kadang-kadang kalau sedang jalan-jalan di pusat membeli-belah, terdengar suara sumbang, menyindir kita dan menyakitkan walhal saya tak buat salah apa-apa pun. Itu yang buatkan saya lebih senang melepak dengan kawan rapat saya di Shah Alam. Selain berdekatan dengan kawasan kediaman, mereka juga lebih memahami saya.
Hip: Mungkin kerana Anuar sukar didekati menyebabkan ramai yang menyalah tafsir personaliti Anuar?
Anuar: Itulah, kadang kala orang lebih suka menilai dari luaran saja. Tanpa mengenali siapa itu Anuar Zain. Mereka senang-senang nak buat cerita tak senonoh tentang saya. Saya tidaklah seperti yang digambarkan sesetengah pihak. Ada orang kata bekerja dengan Anuar memang cerewet. Itu tak kena, ini tak kena. Pendek kata, memang sukar hendak bekerjasama dengan Anuar. Saya akui, apabila bekerja saya memang cerewet. Kalau boleh saya mahu setiap apa yang saya lakukan itu jadi sempurna. Contohnya, kalau ada sesiapa hendak berurusan dengan saya, mereka mestilah melakukan dengan prosedur yang betul. Saya lebih suka berurusan secara ada hitam putih. Saya tidak gemar berurusan cakap mulut saja kerana ia tidak profesional. Saya mahu apa saja yang berkaitan dengan karier saya, direkodkan secara terperinci dan untuk itu sudah pasti saya memerlukan surat rasmi dalam apa juga urusan. Mungkin ada pihak berasakan perkara ini melecehkan lalu meletakkan kesalahan itu di bahu kami dengan mengatakan pengurusan Anuar Zain berlagak, sukar memberi kerjasama dan terlalu cerewet walhal masalah itu sebenarnya berpunca daripada mereka sendiri.
Hip: Isu memilih komposer Indonesia masih belum berkesudahan. Ramai pihak yang menghentam Anuar…
Anuar: Pemilihan komposer dari seberang adalah kerana saya inginkan kepuasan dalam berkarya dan tidak ada kena mengena dengan isu tidak patriotik. Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini. Tapi apabila ada yang masih mempertikaikan perkara ini, saya rasa saya perlu menceritakan perkara sebenar. Bukan saya tidak mahu menggunakan khidmat anak tempatan, tetapi apabila saya minta lagu daripada mereka (sesetengah komposer) sehingga setahun lebih menunggu, masih tidak menampakkan hasil. Apabila saya sudah dapat lagu daripada orang lain, barulah mereka terhegeh-hegeh hendak berikan lagu. Ada yang berikan lagu pada saya tapi apabila ditolak, mengutuk saya. Saya menolak bukannya tidak bagus tetapi tidak sesuai dengan konsep saya. Ini berbeza dengan komposer dari sana. Hasil kerja mereka bukan saja hebat tetapi cukup profesional. Ketika rakaman album dijalankan, mereka tanya kita sama ada saya puas hati dengan susunan muzik. Kalau saya katakan tidak, mereka tanpa banyak soal akan menurut kehendak kita sampai puas hati. Di sana mereka layan kita macam raja. Ini tidak bermaksud mengguris hati mana-mana pihak. Saya menjelaskan mengapa saya lebih senang bekerja dengan karyawan di sana.
Hip: Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan Anuar tidak mahu bergambar dengan artis wanita?
Anuar: Dalam usia sebegini, saya tidak rasa bergambar dengan artis perempuan itu boleh membantu kerjaya seni saya. Sudah 25 tahun saya berada dalam bidang seni. Kata orang ‘been there, done that’. Jadi, saya tidak mahu lagi terbabit dengan aksi seperti ini. Lagipun, saya kena jaga hati peminat dan paling penting, perasaan kedua orang tua saya. Saya tidak mahu aksi bergambar seperti berpelukan melukakan hati mereka.
Hip: Bagaimana pula dengan isu kononnya Anuar digam stesen televisyen?
Anuar: Saya memang terkejut kerana sehingga kini saya tidak diberi hitam putih mengenai kejadian menggam itu. Tapi, seandainya benar saya digam, saya harap pihak yang bertanggungjawab dapat memberikan saya surat menyatakan alasan mengapa saya digam. Andai benar ia berpunca dari kesalahan pihak saya, saya rela membetulkan keadaan. jadi, sekarang ini andai ditanya benarkah saya digam, saya sendiri tidak dapat mengesahkannya.
Hip: Kali terakhir Anuar dicalonkan untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2004. Dan kini selepas empat tahun, Anuar kembali semula. Boleh ulas?
Anuar: Memang terkejut tetapi saya bersyukur kerana selepas tiada album buat sekian lama tiba-tiba bila muncul dengan album baru, nama saya sangkut untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular. Bagi saya, dicalonkan dalam senarai Top 5 sudah menggembirakan saya kerana selalunya, bila sudah lama tak ada album, orang makin lupa pada kita. Tapi dalam hal ini nampaknya saya berkecuali. Apapun, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat yang menyokong saya jemu. Menang kalah, adat bertanding dan yang penting, nama Anuar Zain masih diingati peminat.